RABAT: Pemain tengah Sofyan Amrabat memilih untuk tidak mewakili Maghribi selagi Mohamed Ouahbi kekal sebagai ketua jurulatih, namun menegaskan keputusan itu bukan tanda beliau bersara daripada bola sepak antarabangsa.Amrabat, 30, berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas pertimbangan mendalam dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang sukar, menjelang bermulanya kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027 bulan ini."Ini keputusan yang sangat sukar, tetapi saya tidak merasakan saya mampu meneruskan tugas mewakili pasukan kebangsaan di bawah ketua jurulatih semasa."Oleh itu, saya tidak mahu dipertimbangkan untuk pemilihan selagi beliau masih memegang jawatan."Atas dasar menghormati pasukan kebangsaan dan semua pihak yang terbabit, saya memilih untuk merahsiakan sebab di sebalik keputusan ini," katanya menerusi hantaran di Instagram.Amrabat turut menegaskan beliau tidak menutup pintu untuk kembali menyarung jersi Maghribi pada masa depan."Saya mahu menjelaskan bahawa saya tidak bersara daripada bola sepak antarabangsa dan tidak menutup pintu untuk mewakili Maghribi sekali lagi," katanya.Keputusan itu hadir selepas Amrabat melalui Piala Dunia di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dengan masa permainan yang terhad apabila hanya memulakan satu daripada enam perlawanan Maghribi sebelum mereka disingkirkan Perancis pada suku akhir.Kemunculan pemain tengah Manchester City, Ayyoub Bouaddi turut mengehadkan peluang Amrabat untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.Pemain kelahiran Belanda itu sebelum ini menjadi tonggak penting Maghribi ketika pasukan berkenaan mencipta sejarah mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar di bawah kendalian Walid Regragui.Regragui meninggalkan jawatan itu sebelum Ouahbi mengambil alih pada Mac lalu.Amrabat yang baru menyertai Ajax Amsterdam berkata, beliau akan terus menyokong pasukan kebangsaan ketika Maghribi memulakan perjalanan ke AFCON 2027 yang akan berlangsung di Kenya, Uganda dan Tanzania pada Jun dan Julai tahun depan.Maghribi akan memulakan kempen kelayakan Kumpulan A dengan menentang Gabon pada 25 September sebelum bertemu Lesotho di Bloemfontein, Afrika Selatan, empat hari kemudian.© New Straits Times Press (M) Bhd
(0)Comments