SHAH ALAM - Pemuda Harapan Bangi membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa azan Subuh tidak lagi kedengaran dari masjid dan surau di sekitar kawasan tersebut.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada Selasa.
"Saya berharap laporan polis ini sekali gus mampu menoktahkan fitnah politik," katanya ringkas menerusi hantaran di Threads.
Syahredzan terdahulu membidas dakwaan sedemikian sambil menyifatkan tuduhan tersebut sebagai amat jahat dan bermotifkan politik.
Beliau sempat bertanyakan tentang lokasi spesifik masjid mahupun surau di Bangi yang dimaksudkan individu berkenaan.
Sebelum ini, seorang pengguna TikTok mendakwa sudah tiga hari azan Subuh di kawasan sekitar Bangi tidak kedengaran dari surau atau masjid berdekatan.
Dakwaan semakin panas apabila ruangan komen mengaitkan kejadian tersebut dengan isu politik memandangkan Syahredzan ialah Ahli Parlimen DAP bagi kawasan berkenaan.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian, hantaran asal telah hilang daripada akaun individu berkenaan, namun tangkap layar masih tersebar luas di media sosial.
Pelaku menerusi ruangan komen di hantaran video seterusnya memberi alasan bahawa TikTok yang memadamkannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
(0)Comments