Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.
PETALING JAYA – Pihak Universiti Teknologi Mara (UiTM) diminta memberikan segala bantuan diperlukan keluarga pelajar yang dilapor meninggal dunia ketika menyertai Program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) UiTM Se-Malaysia 2026, di UiTM Kampus Jengka, semalam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, beliau juga meminta pihak berkenaan memastikan kebajikan semua peserta terlibat terus diberikan perhatian.
Beliau pada masa sama menzahirkan rasa dukacita di atas insiden berkenaan dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
'Menerima perkhabaran dukacita mengenai pemergian Allahyarham Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, peserta KKEC 2026 dari UiTM Negeri Sembilan. Takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham, sahabat-sahabat serta warga UiTM. Semoga diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi saat yang amat sukar ini.
'Saya juga telah meminta pihak UiTM memberikan segala bantuan dan sokongan yang diperlukan kepada keluarga Allahyarham serta memastikan kebajikan semua peserta yang terlibat terus diberikan perhatian,' katanya menerusi media sosial, hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan, seorang pelajar UiTM dilaporkan meninggal dunia, manakala lapan orang lagi mengalami sawan dan tidak sedarkan diri ketika menyertai Program KKEC UiTM Se-Malaysia 2026 di UiTM Kampus Jengka, Maran. – KOSMO! ONLINE
The post KKEC UiTM: Menteri minta UiTM bantu keluarga pelajar meninggal dunia appeared first on Kosmo Digital.
(0)Comments