DUNGUN - Bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.41 petang.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa menghantar bayi berkenaan ke taska kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan sihat dan baik.
"Kira-kira jam 10 pagi, pihak taska mendapati mangsa tidak sedarkan diri dipercayai selepas tidur dan diberi susu.
"Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Durian Mas di sini sebelum dirujuk ke Hospital Dungun," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nik Ab Halim berkata, setibanya di hospital, pihak perubatan menjalankan pemeriksaan dan usaha menyelamat termasuk bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 12.45 tengah hari.
Beliau berkata, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal yang jelas.
"Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan dan bedah siasat akan dijalankan," katanya.
Selain itu, beliau berkata, dua pengasuh yang bertugas ketika kejadian telah dikenal pasti dan keterangan mereka akan diambil bagi membantu siasatan.
Nik Ab Halim berkata, polis turut akan mengambil keterangan ibu bapa dan saksi berkaitan serta mendapatkan laporan dan pandangan pihak perubatan.
"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian atau pengabaian ketika mangsa berada di bawah jagaan pihak taska," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
(0)Comments