Keadaan jerebu di Selangor
SHAH ALAM, 6 September – Kerajaan Negeri Selangor memperkukuh kesiapsiagaan semua agensi berkaitan bagi menghadapi situasi jerebu susulan peningkatan semula bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU), di beberapa kawasan di negeri itu.
EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, kerajaan negeri mengambil serius peningkatan bacaan IPU yang boleh menjejaskan kesihatan serta kesejahteraan rakyat.
'Pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dipertingkat, khususnya bagi mencegah sebarang aktiviti pembakaran terbuka.
'Langkah itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Alam Sekitar, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri serta Jabatan Pendidikan Negeri,' menurut kenyataan itu.
Setakat pukul 4.00 petang tadi, enam kawasan di Selangor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Johan Setia mencatat bacaan tertinggi iaitu 181, diikuti Shah Alam 168, Petaling Jaya 157, manakala Kuala Selangor 158, Klang 156 dan Banting 155.
'Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,' tambah kenyataan itu.
Orang ramai juga diminta melaporkan aktiviti pembakaran terbuka kepada Jabatan Alam Sekitar melalui Hotline JAS 1-800-88-2727 atau aplikasi eAduan JAS.
Pada masa sama, golongan berisiko tinggi termasuk kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit jantung dan sistem pernafasan dinasihatkan mengurangkan pendedahan kepada jerebu.
Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan kualiti udara bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) bagi menentukan tindakan sewajarnya sekiranya keadaan terus merosot.
(0)Comments