Ibu mangsa hantar bayinya kira-kira 8 pagi namun dua jam kemudian dimaklum mangsa tidak sedarkan diri selepas tidur dan diberi susu.
Ketua Polis Dungun Nik Ab Halim Nik Mat, berkata pihaknya akan menyiasat sama ada ada unsur kecuaian mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Bayi perempuan empat bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri ketika berada di sebuah taska di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), dekat Dungun, Terengganu.
Ketua Polis Dungun Nik Ab Halim Nik Mat, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.41 petang tadi.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa menghantar bayi berkenaan ke taska kira-kira 8 pagi dalam keadaan sihat dan baik.
'Kira-kira 10 pagi, pihak taska mendapati mangsa tidak sedarkan diri dipercayai selepas tidur dan diberi susu.
'Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Durian Mas di sini sebelum dirujuk ke Hospital Dungun,' katanya menurut Bernama.
Nik Ab Halim berkata, setibanya di hospital, pihak perubatan menjalankan pemeriksaan dan usaha menyelamat termasuk bantuan pernafasan kardiopulmonari (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia sekitar 12.45 tengah hari.
Katanya, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan fizikal yang jelas.
'Bagaimanapun, punca sebenar kematian masih belum dapat dipastikan dan bedah siasat akan dijalankan,' katanya.
Selain itu, beliau berkata dua pengasuh yang bertugas ketika kejadian telah dikenal pasti dan keterangan mereka akan diambil bagi membantu siasatan.
Nik Ab Halim berkata, polis turut akan mengambil keterangan ibu bapa dan saksi berkaitan serta mendapatkan laporan dan pandangan pihak perubatan.
'Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 bagi menentukan sama ada terdapat unsur kecuaian atau pengabaian ketika mangsa berada di bawah jagaan pihak taska,' katanya. - FMT
(0)Comments