Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.54 peratus kepada AS$96.80 setong. - Gambar hiasan/AP
SINGAPURA: Harga minyak dunia meneruskan kenaikan pada Isnin berikutan kebimbangan terhadap gangguan bekalan yang berpanjangan susulan serangan balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran terhadap kapal-kapal yang beroperasi di Selat Hormuz.
Niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat 0.54 peratus kepada AS$96.80 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) naik 0.72 peratus kepada AS$92.14 setong pada awal dagangan.
Kenaikan itu berlaku selepas Iran mendakwa menyerang tiga kapal yang dikaitkan dengan AS serta tiga kapal tangki minyak yang menggunakan laluan yang disifatkannya sebagai tidak dibenarkan di Selat Hormuz.
Tehran menyatakan tindakan itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS yang memusnahkan tiga kapal tangki minyak mentah Iran.
Washington pula memaklumkan serangan terhadap kapal-kapal Iran dilakukan sebagai balasan terhadap serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran ke arah dua kapal perang Tentera Laut AS di perairan berkenaan.
Firma perisikan maritim, Marisks, menyifatkan insiden pada hujung minggu itu sebagai peningkatan ketara dalam konflik maritim di rantau tersebut, dengan kapal komersial kini turut menjadi sasaran tekanan ekonomi antara kedua-dua pihak.
Ketegangan yang berterusan turut menjejaskan pergerakan kapal di Selat Hormuz.
Data firma analisis Kpler menunjukkan purata hanya 10 kapal komoditi melalui laluan strategik itu setiap hari dalam tempoh 10 hari lalu, yang merupakan paras terendah sejak Mei.
Sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu, harga minyak Brent telah meningkat lebih 30 peratus berikutan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global dan gangguan perkapalan di Selat Hormuz, yang sebelum ini mengendalikan kira-kira satu perlima penghantaran minyak dunia.
Penganalisis ANZ berkata senario paling berkemungkinan ketika ini ialah kebuntuan berpanjangan antara AS dan Iran yang diselang-seli tindakan ketenteraan terhad, sekali gus menangguhkan pemulihan penuh bekalan minyak dari Asia Barat.
Pada masa sama, Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mengekalkan dasar pengeluaran minyaknya bagi Oktober sementara rundingan berhubung kuota baharu diteruskan.
© 2026 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.
(0)Comments